Melalui unit khas kerajaan negeri yang dibentuk untuk mencerap data keluasan tanah terbiar di Terengganu, dilaporkan jumlahnya ialah seluas 8000 hektar. 1000 hektar dikatakan telah berjaya dibangunkan sejak tahun 2008.
Hasil dari cerapan data ini, maka datanglah Program Pemulihan Tanah Terbiar dengan peruntukkan RM1 juta setiap tahun berupa geran sebanyak RM20,000 perhektar bagi tujuan membaik pulih tanah, memasang pagar dan menggali parit.
Satu penggal pentadbiran ialah 5 tahun. Bolehlah kita anggap RM5 juta telah digazetkan untuk tujuan ini. RM5juta dibahagikan RM 20,000 perhektar sepatutnya telah memberikan kita kejayaan pemulihan seluas 250 hektar. Barangkali inilah nilai ambang pencapaian pemulihan tanah semak samun lalu bertukar rupa menjadi ladang makanan. Sepatutnya begitu.
Di bawah Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu, adalah diharapkan bajet akan datang diperbesarkan lagi untuk tujuan pemulihan tanah terbiar. Bajet itu perlulah merangkum bukan setakat geran baik pulih tanah tetapi bersekalikan program latihan dan projek tumpu dengan kluster tanah terbiar dibahagikan mengikut program khusus. Ia bukan sekadar memetakan tanah terbiar. Atau bertumpu di tanah PerMINT dan Setiu sahaja.
Oh ya! Bolehkah kita memberitahu rakyat secara hebahan besar di mana bajet ini boleh dipohon? Pemulihan tanah perlu dibuat dahulu sebelum projek menanam boleh dimulakan. Sebab kurang cermat jika alasan ulung digunakan iaitu buat dahulu projek, barulah kerajaan yakin untuk bantu salurkan geran bagi tujuan baik pulih tanah untuk usahawan.
Dikhabarkan seluas 344 ekar tanah sudah dan akan dimakmurkan dengan tanaman nenas MD2 di Setiu melalui anak syarikat negeri yang popular. Dengan izin Allah, sebelum penggal pentadbiran tamat, Terengganu akan ‘surplus’ nenas melimpah ruah dengan harga murah tanda berkat makmur. Sebagai rakyat, kita tunggu lah hasil semai sudah dan akan itu bila datangnya dapatnya dituai.
Zamir Ghazali

Leave a Reply

Your email address will not be published.